Friday, January 28, 2011

Aku Cuma An-Nisaa

Ya Allah..
Jadikan aku tabah seperti Ummu Khadijah
Sehingga dirinya digelar afifah solehah
Dialah wanita pertama
Tiada ragu mengucap syahadah
Pengorbanan bersama Rasulullah
Susah senang bersama
Walau hilang harta kerana berdakwah
Walau dipulau 3 tahun 3 bulan
Imannya sedikit pun tak berubah
Mampukah aku setabah dirinya?
Andai diuji sedikit sudah rebah..
Baru dihina sudah mengalah
Ya Allah..tabahkan aku sepertinya..

Ya Allah..
Jadikan aku semulia Fatimah Az-Zahrah
Betapa tinggi kasihnya pada ayahandanya
Tidak pernah putus asa pada perjuangan dakwah baginda
Anak yang semulia peribadi baginda
Tangannya lah yang membersihkan luka
Tangannya jua yang membersihkan cela
Pada jasad Rasulullah tercinta
Gagahnya dirinya pada dugaan
Mampukah aku sekuat Fatimah?
Saat diri terluka dendam pula menyapa
Saat disakiti maki pula mengganti
Ya Rabbi..teguhkan hatiku sepertinya..

Ya Allah..
Jadikan aku sehebat Masyitah dan Sumaiyah
Tukang sisir yang beriman
dan Keluarga Yasir yang bertakwa
Sungguh kesabaran mereka menggoncang dunia
Iman tetap terpelihara walau nyawa jadi taruhan
Mampukah sabarku seperti mereka?
Tatkala digoda nafsu dunia..
Entah mana hilangnya Iman di dada

Ya Rahman..
Kuatkan Imanku seperti Masyitah
Terjun penuh yakin bersama bayi ke kuali mendidih
Kerana yakin Allah pasti disisi
Sabarkan aku seperti sumaiyah
Biar tombak menusuk jasad..
Iman sedikit pun takkan rapuh.

Ya Allah..
Jadikan aku semulia Ummu Sulaim
Perkahwinannya dengan Abu Talhah atas mahar Iman
Islamlah Abu Talhah sehingga menjadi sahabat Rasulullah
Betapa hebatnya tarbiyyah isteri pada suami
Hinggakan segala panahan ke Rasulullah pada hari uhud
Disambut dengan belakang jasad Abu Talhah

Ya Allah..
Tarbiyyahkan aku pada cinta sepertinya
Tingginya nilai cinta pada harga Iman
Mampukah aku menatap cinta itu?
Sedangkan rupa yang menjadi pilihan
Ketulusan Iman diketepikan
Ya Allah..
Ilhamkan aku pada cinta sepertinya..

Ya Allah...
Jadikan aku sehebat Aisya Humaira
Isteri termuda Rasulullah
Biar dilempar fitnah
Dia tetap teguh pada ketetapanNya
Isteri sejati yang memangku Nabi
Pada saat terakhir baginda
Hadis dan Sunnah Rasulullah dipertahankan
Betapa hatimu seorang mujahidah

Ya Allah..
Mampukah aku contohi dirinya?
Pada fitnah yang melanda
Diri mula goyah dan putus asa
Teguhkan Imanku sepertinya..Ya Rahim..

Ya Allah..
Teringat diri pada Khansa
Empat orang anaknya mati di Jalan ALLAH
Dia meratap tangis..
Anak sulungnya syahid
Anak keduanya turut syahid
Anak ketiganya dan keempat jua mati syahid
Namun tangisan itu bukan kerana pemergian anak tercinta
Jawabnya kerana tiada lagi anak yang dihantar untuk berjihad
Ya Allah..
Mampukah aku menjadi ibu yang berjihad?
Sedang anak tak tutup aurat pun masih tak terjawab
Sedang anak tinggal solat pun buat tak kisah
Berikan aku kekuatan sepertinya..
Agar bersedia pada akhirat.

Wahai kaum Adam yang bergelar khalifah..
Diriku bukan setabah Ummu Khadijah
Bukan jua semulia Fatimah Az-Zahrah
Apa lagi sesabar Masyitah dan Sumaiyah
Mahupun sehebat Ummu Sulaim
Dan tidak seteguh Aisya Humaira
Kerana diri cuma An-Nisaa akhir zaman
Dimana Aurat semakin dibuka terdedah
Dimana syahadah hanya pada nama
Dimana Dunia yang terus dipuja
Dimana nafsu fana menjadi santapan utama
Dimana batas sentiasa dileraikan
Dimana ukhwah sentiasa dipinggirkan

Wahai Kaum Hawa
Kita cuma An-Nisaa
Para pendosa yang terbanyak di neraka
Lantas walau tak setabah para Mujahidah
Namun Tabahlah pada ketetapan Allah
Kerana padanya ada Syurga!
Walau tak semulia para wanita sirah
Tapi muliakan diri dengan agama yang memelihara
kerana padanya ada Pahala!
Walau tak sesabar para wanita solehah
Namun sabarkan jiwa pada nafsu dunia yang menyeksa
Kerana padanya ada bahagia!

Sesungguhnya Hawa tercipta dari Tulang rusuk kaum Adam
Bukan untuk ditindas kerana lemah
Tapi untuk dilindungi kerana Indah
dan Indah apabila tertutup terpelihara
Kerana disitulah terjaganya Syahadah
Bak mekarnya wanita dalam sirah
Tuntunlah kami ke arah syurga..
Bicara dari An-Nisaa yang hina..
Makbulkan doaku..
Aamiin..

***** ( dipetik drpada Artikel iluvislam.com ).

Siapa Suami Kamu Di Syurga Nanti?

Persoalan mengenai kehidupan berpasangan, suami isteri atau ikatan perkahwinan di syurga kelak pasti bermain di fikiran semua wanita beriman bukan? Pasti mereka ingin mengetahui siapakah suami mereka di sana. Ia akan dijawab mengikut dalil sahih dari Rasulullah s.a.w, namun segala perinciannya adalah hak milik Allah s.w.t….


Kes 1: Wanita yang meninggal dunia sebelum berkahwin.
Wanita dalam golongan ini akan dikahwinkan dengan seorang lelaki di kalangan Ahli Syurga. Rasulullah s.a.w bersabda: “Tiada si bujang di dalam syurga” (H.R. Muslim). Ini kerana ada juga kaum lelaki yang belum berkahwin sebelum meninggal dunia.

Kes 2: Wanita yang meninggal dunia setelah bercerai dan tidak berkahwin dengan lelaki lain selepas itu.

Wanita dalam golongan ini juga akan dikahwinkan oleh Allah s.w.t dengan lelaki daripada Ahli Syurga.

Kes 3: Wanita yang meninggal dunia sedangkan suaminya tidak memasuki syurga.
Seperti kes 2, wanita dalam golongan ini juga akan mengahwini lelaki daripada Ahli Syurga.

Kes 4: Wanita yang meninggal dunia setelah berkahwin.

Wanita dalam golongan ini akan bersama suami mereka masing-masing asalkan suaminya memasuki syurga.

Kes 5: Wanita yang kematian suami dan tidak berkahwin selepas itu.

Seperti kes 4, Wanita dalam golongan ini akan bersama suami mereka masing-masing asalkan suaminya yang meninggal tersebut memasuki syurga.

Kes 6: Wanita yang kematian suami tetapi berkahwin dengan lelaki lain.

Apabila seorang wanita ketika di dunia memiliki dua atau lebih suami, maka kelak di syurga dia dipersilakan untuk memilih siapa di antara suami-suaminya yang dia inginkan untuk menjadi pendampingnya di syurga, asalkan suaminya itu tergolong dari Ahli Syurga. Satu lagi pendapat mengatakan bahawa dia akan bersama suaminya yang terakhir. Ini disebut oleh hadith Rasulullah: “Wanita adalah kepunyaan suaminya yang terakhir” (H.R. Al-Albani)

Dipetik dari Facebook: http://goo.gl/3HkDd

Tukar Ucapan Harian Kita Kepada Ucapan Berpahala..




Bagaimana ucapan salam yang sebenar-benarnya disyariatkan?

Jawapan kepada persoalan ini boleh dirujuk kepada sebuah riwayat lain yang menyatakan “Bahawa sudah bertandang seorang lelaki kepada Rasulullah seraya mengucapkan Assalamualaikum. Nabi bersabda “Sepuluh kebaikan”.

Kemudian datang yang lain pula sambil mengucapkan “Assalamualaikum warahmatullah”. Nabi bersabda “Dua puluh kebaikan”.

Kemudian datang yang lain lagi dan mengucapkan “Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh”. Baginda Nabi bersabda “Tiga puluh”. (Hadis riwayat Abu Daud dan al-Tirmiziy)

( via CahayaIslam.net )

Semoga dgn perkongsian ini, sama-samalah kita mempraktikkannya dlm kehidupan seharian kita.