Sunday, December 23, 2012

Bakal imamku..




Siapa kelak menjadi bakal imamku..itu semua rahsia Allah Yang Maha Mengetahui. Jodoh, pertemuan, hidup dan mati semuanya sudah ditetapkan oleh Allah sejak kita di dalam rahim ibu lagi. Kita perlu berusaha mencari bakal imam kita nnti dan disertai dgn tawakal dan berdoa agar dipertemukan dgn imam yang kelak akan membimbing kita menjadi isteri yang solehah, mendidik anak-anak dengan penuh kasih sayang berlandaskan syariat Islam agar menjadi anak-anak yg soleh dan solehah. Semoga baiti jannati yang akan terbina nnti berkekalan sampai syurga. Amin Ya Rabbal Alamin. Perkahwinan itu sunnah Rasulullah S.A.W, dengan perkahwinan maka akan bertambahlah umat Nabi Muhammad S.A.W. Ya Allah, seandainya dia telah tercatat untukku, dekatkanlah hatiku dgn hatinya, jika tidak jauhkanlah hatiku dgn hatinya. Amin..Ya Allah, sekiranya aku jatuh cinta, maka jatuhkanlah cintaku pada seseorang yg melabuhkan cintanya padaMu, agar bertambah kekuatanku utk mencintaiMu.

Dalam Bisikan Doa, ada Segaris Nama yang ku mohon pada Allah..seandainya benar dia, semoga Allah permudahkan semua..ku sampaikan Salam Rindu, moga kamu akan terus baik-baik saja..dan moga Allah menjaga kamu, seperti mana Dia menjagaku..bakal imamku sedang menunggu makmumnya dan makmumnya juga sedang menunggu bakal imamnya dan akan dipertemukan apabila tiba masanya yg telah ditetapkan oleh Maha Pencipta. Aku ingin mencintaimu kerana AGAMAMU..Aku ingin Menyayangimu kerana AKHLAKMU..Aku ingin bersamamu kerana ALLAH..Maka terimalah aku seadanya..kekuranganku akan menjadi pelengkapmu..


Jika namamu yang tertulis di Lauhul Mahfudz untuk diriku, nescaya rasa cinta itu akan Allah tanamkan dalam diri kita. Tugasku bukan mencari dirimu, tetapi mensolehahkan diriku..Wahai seseorang yang telah tertulis di Lauhul Mahfudzku, imamku dan ayah dari anak-anakku, engkau yang membersamai perjalananku nanti..Aku percaya engkau sedang memperbaiki dirimu, memantaskan dirimu untuk menjadi imam bagi tulang rusukmu dan buah hatimu kelak..Wallahua'lam.



Saturday, December 22, 2012

Oh Tudung Labuh..



Tudung. Tudung. Tudung.

Ya, bermacam-macam rupa yang boleh kita lihat sekarang kerana semuanya mahu mengikut peredaran fesyen semasa.

Ada yang belitnya dari kiri ke kanan, ke atas ke bawah, disilangnya ke sana, ke mari. Cantik! Namun kebanyakannya tidak mengikut syariat.

Saya dahulu salah seorang dari yang gemarkan fesyen-fesyen lilit-lilit pusing-pusing itu semua. Perempuan mana yang tak mahu kelihatan cantik menarik!

Tambah lagi apabila pengalaman hidup yang saya lalui, berhadapan dengan orang tudung labuh yang berperangai sama macam yang bertudung tak mengikut syariat. Ada yang lebih teruk! Jadi? Kesimpulan awal saya ialah "Ahhh sama je orang tudung biasa dengan tudung labuh. Baik pakai macam biasa, macam kebanyakan orang lain pakai. Nanti bertudung labuh, tak boleh nak gila-gila!"

Namun jauh di sudut hati, ada satu rasa yang bergetar – ada sesuatu yang menarik tentang tudung labuh.

Allah sayang saya. Amat sayang.

Hampir setiap hari dalam hidup, Allah temukan saya dengan artikel-artikel tentang erti sebenar tudung. Saya mula perlahan-lahan, dari tudung yang berbagai fesyen itu, saya tutupkan dada. Masih dengan tudung biasa! Dalam hati, "OK, cukup dah ni". Namun masih sentiasa bermohon pada Allah supaya dilimpahi hidayah-Nya.

Allah masing sayang saya, terlalu sayang.

Allah bukakan mata saya, untuk melihat betapa indahnya, betapa selamatnya bertudung labuh. Allah kenalkan saya dengan insan-insan bertudung labuh, yang masih lagi gila-gila, namun terbatas pergaulan mereka, yang terjaga tatasusila.

Saya seorang yang cerewet, tidak suka pada telekung-telekung di mall yang berbau, berdaki. Allah tunjuk pada saya, apabila bertudung labuh, lebih mudah, lebih selesa untuk saya solat, kerana aurat saya sudah terjaga! Tidak perlu lagi telekung-telekung berbau berdaki itu semua.

Saya seorang yang akan hilang rasa hormat pada lelaki-lelaki yang bersiul-siul pada perempuan di tepi-tepi jalan, yang lalu di hadapan mereka. Sangat tidak hormat! Tetapi Allah tunjuk pada saya, apabila bertudung labuh, lelaki-lelaki itu tidak berani buat begitu.

Saya nekad. Dengan hanya dua helai tudung berbidang 60" yang mampu saya beli, saya sarungkan. Terasa betapa Allah sayang saya. Saya rasa sangat selamat dalam dakapan tudung labuh, yang satu masa dulu saya pandang hanya sebelah mata.

Saya sekarang bertudung labuh, tetapi masih gila-gila! Bertudung labuh bukan bererti saya alim. Saya juga masih tercari-cari cahaya. Tetapi tudung labuh itu membantu saya, dalam gila-gila, saya ingat untuk menjaga batas-batas, tatasusila. Yang mendekatkan saya pada cahaya, bukan gelita. Saya malu untuk buat perkara sia-sia, malu jika saya dipandang manusia lain sepertimana saya memandang perempuan bertudung labuh yang "perangai tak serupa tudung" suatu masa dulu.

Tudung labuh itu bukan tanda seseorang itu alim, tetapi itu pelindungnya dari perkara-perkara yang tidak baik. Moga dari kerana tudung, hati saya juga terjaga, akhlak saya dipelihara, akidah saya makin teguh pada-Nya.

Moga saya istiqamah! Moga akhlak saya seindah tudung saya! Amin Ya Rabb!

- Artikel iluvislam.com


8 Pembohongan Ibu Kepadaku!


Memang sukar untuk org lain percaya, tapi itulah yang berlaku, ibu saya memang seorang pembohong!
Sepanjang ingatan saya, sekurang-kurangnya 8 kali ibu membohongi saya.
Saya perlu catatkan segala pembohongan itu untuk menjadi renungan dan panduan anda semua.
Ambillah iktibar daripadanya dan hayatilah sebaiknya kerana itulah ibuku!

01.
PEMBOHONGAN IBU YANG PERTAMA - Cerita ini bermula ketika saya masih kecil. Saya lahir sebagai seorang anak lelaki dalam sebuah keluarga yang miskin.

Makan minum serba kekurangan. Kami sering kelaparan.
Ada kalanya selama beberapa hari kami terpaksa makan berlaukkan seekor ikan masin dikongsi 1 keluarga.
Sebagai anak yang masih kecil, saya sering saja merungut. Saya menangis mahukan nasi dan lauk yang banyak. Tapi mak cepat memujuk.
Ketika makan, mak sering memberikan bahagian nasinya untuk saya.
Sambil memindahkan nasi ke mangkuk saya, mak berkata: "Makanlah nak, mak tak lapar.".

02.PEMBOHONGAN IBU YANG KEDUA - Ketika saya mulai besar, mak yang gigih sering meluangkan waktu senggangnya untuk pergi memancing di tali air berhampiran rumah.
Mak berharap dari ikan hasil pancingan itu dapat memberikan sedikit makanan untuk pembesaran kami adik-beradik.
Pulang memancing, mak memasak gulai ikan yang segar dan mengundang selera.
Sewaktu saya memakan gulai ikan itu, mak duduk di samping kami dan memakan sisa daging ikan yang menempel di tulang daripada bekas sisa ikan yang saya makan tadi.
Saya sedih melihat mak seperti itu.
Hati saya tersentuh, lalu dengan menggunakan sudu, saya memberikan ikan itu kepada mak. Tetapi mak dengan cepat menolaknya. Mak berkata: "Makanlah nak, mak tak suka makan ikan."

03.PEMBOHONGAN IBU YANG KETIGA - Di usia awal remaja, saya masuk sekolah menengah. Mak pergi ke kedai dengan membawa sejumlah penyapu lidi dan kuih-muih untuk menyara persekolahan saya, abang dan kakak.
Suatu dinihari, lebih kurang 1.30 pagi, saya terjaga dari tidur.
Saya melihat mak sedang membuat kuih bertemankan sebuah pelita di hadapannya. Beberapa kali saya lihat kepala mak terhangguk kerana terlalu mengantuk.
Saya berkata: "Mak, tidurlah, esok pagi mak kena pergi kebun pula." Mak tersenyum dan berkata: "Cepatlah tidur nak, mak belum mengantuk lagi."

04.PEMBOHONGAN IBU YANG KEEMPAT - Di hujung musim persekolahan, mak meminta cuti kerja supaya dapat menemani saya pergi ke sekolah untuk menduduki peperiksaan penting.
Ketika hari sudah siang, terik panas matahari mulai menyinari, mak terus sabar menunggu saya di luar dewan.
Mak sering kali saja tersenyum dan mulutnya terkumat-kamit berdoa kepada Ilahi agar saya lulus ujian peperiksaan ini dengan cemerlang.
Ketika lonceng berbunyi menandakan ujian sudah selesai, mak dengan segera menyambut saya dan menuangkan kopi yang sudah disiapkan dalam botol yang dibawanya.
Kopi yang kental itu tidak dapat dibandingkan dengan kasih sayang mak yang jauh lebih kental.
Melihat tubuh mak yang dibasahi peluh, saya segera memberikan cawan saya itu untuk mak dan menyuruhnya minum.
Tapi mak cepat-cepat menolaknya dan berkata: "Minumlah nak, mak tak haus."

05.PEMBOHONGAN IBU YANG KELIMA - Setelah pemergian ayah kerana sakit, iaitu selepas adik saya baru beberapa bulan dilahirkan, maklah yang mengambil tugas sebagai ayah kepada kami sekeluarga.
Mak bekerja mengambil upah di kebun, membuat penyapu lidi dan berjual kuih-muih agar kami tidak kelaparan.
Tapi apalah sangat kudrat seorang ibu. Kehidupan keluarga kami semakin susah dan susah.
Melihat keadaan keluarga yang semakin parah, seorang pakcik yang baik hati dan tinggal berjiran dengan kami, datang membantu mak.
Anehnya, mak menolak bantuan itu.
Jiran-jiran sering menasihati mak supaya menikah lagi agar ada seorang lelaki yang akan menjaga mak dan mencarikan wang untuk kami sekeluarga.
Tetapi mak yang memang keras hatinya tidak mengendahkan nasihat mereka.
Mak berkata: "Saya tidak perlukan cinta, saya tidak perlukan lelaki."

06.PEMBOHONGAN IBU YANG KEENAM - Setelah kakak dan abang habis belajar dan mulai bekerja, mak sudah pun tua.
Kakak dan abang menyuruh mak supaya berehat saja di rumah. Tidak payahlah lagi bersusah payah dan bersengkang mata untuk mencari duit, tetapi mak tidak mahu.
Mak rela pergi pasar setiap pagi menjual sedikit sayur untuk memenuhi kekperluan hidupnya.
Kakak dan abang yang bekerja jauh di kota besar sering mengirimkan wang untuk membantu memenuhi keperluan mak, pun begitu mak tetap berkeras tidak mahu menerima wang tersebut.
Malahan mak mengirim balik wang itu, dan mak berkata: "Jangan susah-susah, mak ada duit."

07.PEMBOHONGAN IBU YANG KETUJUH - Setelah tamat pengajian di universiti, saya melanjutkan pelajaran ke peringkat sarjana di luar negara.
Pengajian saya di sana dibiayai sepenuhnya oleh sebuah syarikat besar.
Sarjana itu saya sudahi dengan cemerlang, kemudian saya pun bekerja dengan syarikat yang telah membiayai pengajian saya, juga di luar negara.
Dengan gaji yang agak lumayan, saya berhajat membawa mak untuk menikmati penghujung hidupnya di luar negara.
Pada pandangan saya, mak sudah puas bersusah payah untuk kami.
Hampir seluruh hidupnya habis dengan penderitaan, eloklah kalau hari-hari tuanya ini mak habiskan dengan keceriaan dan keindahan pula.
Tetapi ibu yang baik hati, menolak ajakan saya.
Mak tidak mahu menyusahkan anaknya ini dengan berkata: "Tak payahlah, mak tak biasa tinggal di negara orang."

08.PEMBOHONGAN IBU YANG KELAPAN - Beberapa tahun berlalu, mak semakin tua. Suatu malam saya menerima berita mak diserang penyakit kanser.
Mak mesti dibedah secepat mungkin. Saya menjenguk ibunda tercinta.
Saya melihat mak terbaring lemah di katil hospital setelah menjalani pembedahan.
Mak yang kelihatan sangat tua, menatap wajah saya dengan penuh kerinduan.
Mak menghadiahkan saya sebuah senyuman biarpun agak kaku kerana terpakas menahan sakit yang menjalari setiap inci tubuhnya.
Saya dapat melihat dengan jelas betapa penyakit itu telah memamah tubuh ibu sehingga mak menjadi terlalu lemah dan kurus.
Saya menatap wajah mak sambil berlinangan air mata.
Saya cium tangan mak, kemudian saya kucup pula pipi dan dahinya.
Di saat itu hati saya terlalu pedih, sakit sekali melihat mak dalam keadaan seperti ini.

Tetapi mak tetap tersenyum dan berkata-kata: "Jangan menangis nak, mak tak sakit."
Setelah mengucapkan pembohongan yang kelapan itu, ibunda tercinta menutup matanya untuk kali terakhir kali.
Anda bertuah kerana masih mempunyai ibu dan ayah. Anda boleh memeluk dan menciumnya.
Kalau ibu anda jauh dari mata, anda boleh menelefonnya sekarang, dan berkata:MAK, SAYA SAYANGKAN MAK!
Tapi tidak saya. Sehingga kini saya diburu rasa bersalah yang amat sangat kerana biarpun mengasihi mak lebih dari segala-galanya, tapi tidak pernah sekalipun saya membisikkan kata-kata itu ke telinga mak, sampailah saat mak menghembuskan nafasnya yang terakhir.
Mak, maafkan saya. SAYA SAYANGKAN MAK...!!! ( dipetik daripada iluvislam.com )...

Seandainya Rasulullah Bersamamu Sekarang, Apa Yang Akan Kamu Katakan Padanya?


SAAT-SAAT KEWAFATAN RASULULLAH S.A.W


Daripada Ibnu Mas’ud r.a., bahawasanya dia berkata: “Ketika ajal Rasulullah saw sudah dekat, baginda mengumpul kami di rumah Siti Aishah r.a

Kemudian baginda memandang kami sambil berlinangan air matanya, lalu bersabda: Marhaban bikum, semoga Allah memanjangkan umur kamu semua, semoga Allah menyayangi, menolong dan memberikan petunjuk kepada kamu. Aku berwasiat kepada kamu, agar bertakwa kepada Allah. Sesungguhnya aku adalah sebagai pemberi peringatan untuk kamu. Janganlah kamu berlaku sombong terhadap Allah.”

“Allah berfirman: Kebahagiaan dan kenikmatan di akhirat kami jadikan untuk orang-orang yang tidak ingin menyombongkan dirinya dan membuat kerosakan di muka bumi. Dan kesudahan syurga itu bagi orang-orang yang bertakwa.”

Kemudian kami bertanya: “Bilakah ajal baginda ya Rasulullah?”

Baginda menjawab: “Ajalku telah hampir, dan akan pindah ke hadrat Allah, ke Sidratulmuntaha dan ke Jannatul Makwa serta ke Arsyila.”

Kami bertanya lagi: “Siapakah yang akan memandikan baginda ya Rasulullah?”

Rasulullah menjawab: “Salah seorang ahli bait.”

Kami bertanya: “Bagaimana nanti kami mengafani baginda ya Rasulullah?”

Baginda menjawab: “Dengan bajuku ini atau pakaian Yamaniyah.”

Kami bertanya: “Siapakah yang mensolatkan baginda di antara kami?” Kami menangis dan Rasulullah saw pun turut menangis.

Kemudian baginda bersabda: “Tenanglah, semoga Allah mengampuni kamu semua. Apabila kamu semua telah memandikan dan mengafaniku, maka letaklah aku di atas tempat tidurku, di dalam rumahku ini, di tepi liang kuburku. Kemudian keluarlah kamu semua dari sisiku. Maka yang pertama-tama mensolatkan aku adalah sahabatku Jibril as. Kemudian Mikail, kemudian Israfil kemudian Malaikat Izrail (Malaikat Maut) beserta bala tenteranya.

Kemudian masuklah anda dengan sebaik-baiknya. Dan hendaklah yang mula solat adalah kaum lelaki dari pihak keluargaku, kemudian yang wanita-wanitanya, dan kemudian kamu semua.”


SEMAKIN TENAT

Semenjak hari itu, Rasulullah saw bertambah sakitnya yang ditanggungnya selama 18 hari. Setiap hari, ramai yang mengunjungi baginda, sampailah datangnya hari Isnin, disaat baginda menghembuskan nafasnya yang terakhir. Sehari menjelang baginda wafat iaitu pada hari Ahad, penyakit baginda semakin bertambah serius. Pada hari itu, setelah Bilal bin Rabah selesai mengumandangkan azannya, dia berdiri di depan pintu rumah Rasulullah, kemudian memberi salam:

“Assalamualaikum ya Rasulullah?”

Kemudian dia berkata lagi: “Assolah yarhamukallah.”

Fatimah menjawab: “Rasulullah dalam keadaan sakit.”

Maka kembalilah Bilal ke dalam masjid. Ketika bumi terang disinari matahari siang, maka Bilal datang lagi ke tempat Rasulullah, lalu dia berkata seperti perkataan yang tadi.

Kemudian Rasulullah memanggilnya dan menyuruh dia masuk. Setelah Bilal bin Rabah masuk,

Rasulullah saw bersabda: “Saya sekarang berada dalam keadaan sakit. Wahai Bilal, kamu perintahkan sahaja agar Abu Bakar menjadi imam dalam solat.”

Maka keluarlah Bilal sambil meletakkan tangan di atas kepalanya sambil berkata: “Aduhai, alangkah baiknya bila aku tidak dilahirkan ibuku?” Kemudian dia memasuki masjid dan memberitahu Abu Bakar agar beliau menjadi imam dalam solat tersebut. Ketika Abu Bakar r.a. melihat ke tempat Rasulullah SAW yang kosong, sebagai seorang lelaki yang lemah lembut, dia tidak dapat menahan perasaannya lagi, lalu dia menjerit dan akhirnya dia pengsan. Orang-orang yang berada di dalam masjid menjadi bising sehingga terdengar oleh Rasulullah saw.

Baginda bertanya: “Wahai Fatimah, suara apakah yang bising itu?”

Siti Fatimah menjawab: “Orang-orang menjadi bising dan bingung kerana Rasulullah saw tidak ada bersama mereka.”

Kemudian Rasulullah saw memanggil Ali bin Abi Talib dan Abbas r.a. Sambil dibimbing oleh mereka berdua, maka baginda berjalan menuju ke masjid. Baginda solat dua rakaat.

Setelah itu baginda melihat kepada orang ramai dan bersabda: “Ya ma aasyiral Muslimin, kamu semua berada dalam pemeliharaan dan perlindungan Allah. Sesungguhnya Dia adalah penggantiku atas kamu semua, setelah aku tiada. Aku berwasiat kepada kamu semua agar bertakwa kepada Allah SWT kerana aku akan meninggalkan dunia yang fana ini. Hari ini adalah hari pertamaku memasuki alam akhirat, dan sebagai hari terakhirku berada di alam dunia ini.”


MALAIKAT MAUT DATANG BERTAMU

Pada hari esoknya iaitu pada hari Isnin, Allah mewahyukan kepada Malaikat Maut supaya dia turun menemui Rasulullah saw dengan berpakaian sebaik-baiknya. Dan Allah menyuruh Malaikat Maut mencabut nyawa Rasulullah saw dengan lemah lembut. Seandainya Rasulullah menyuruhnya masuk, maka dia dibolehkan masuk. Tetapi jika Rasulullah saw tidak mengizinkannya, dia tidak boleh masuk dan hendaklah dia kembali sahaja.

Maka turunlah Malaikat Maut untuk menunaikan perintah Allah SWT. Dia menyamar sebagai seorang biasa. Setelah sampai di depan pintu tempat kediaman Rasulullah saw,

Malaikat Maut itupun berkata: “Assalamualaikum wahai ahli rumah kenabian, sumber wahyu dan risalah!”

Fatimah pun keluar menemuinya dan berkata kepada tamunya itu: “Wahai Abdullah (hamba Allah), Rasulullah sekarang dalam keadaan sakit.”

Kemudian Malaikat Maut itu memberi salam lagi: “Assalamualaikum, bolehkah saya masuk?”

Akhirnya Rasulullah saw mendengar suara Malaikat Maut itu, lalu baginda bertanya kepada puterinya Fatimah: “Siapakah yang ada di muka pintu itu?”

Fatimah menjawab: “Seorang lelaki memanggil baginda. Saya katakan kepadanya bahawa baginda dalam keadaan sakit. Kemudian dia memanggil sekali lagi dengan suara yang menggetarkan sukma.”

Rasulullah saw bersabda: “Tahukah kamu siapakah dia?”

Fatimah menjawab: “Tidak wahai baginda.”

Lalu Rasulullah saw menjelaskan: “Wahai Fatimah, dia adalah pengusir kelazatan, pemutus keinginan, pemisah jemaah dan yang meramaikan kubur.

Kemudian Rasulullah saw bersabda: “Masuklah, wahai Malaikat Maut.”

Maka masuklah Malaikat Maut itu sambil mengucapkan: “Assalamualaika ya Rasulullah.”

Rasulullah saw pun menjawab: “Waalaikassalam ya Malaikat Maut. Engkau datang untuk berziarah atau untuk mencabut nyawaku?”

Malaikat Maut menjawab: “Saya datang untuk ziarah sekaligus mencabut nyawa. Jika tuan izinkan akan saya lakukan. Jika tidak, saya akan pulang.”

Rasulullah saw bertanya: “Wahai Malaikat Maut, di mana engkau tinggalkan kecintaanku Jibril?”

Jawab Malaikat Maut: “Saya tinggal dia di langit dunia.”

Baru sahaja Malaikat Maut selesai bicara, tiba-tiba Jibril a.s. datang lalu duduk di samping Rasulullah saw.

Maka bersabdalah Rasulullah saw: “Wahai Jibril, tidakkah engkau mengetahui bahawa ajalku telah dekat?”

Jibril menjawab: “Ya, wahai kekasih Allah.”


KETIKA SAKARATUL MAUT

Seterusnya Rasulullah saw bersabda: “Beritahu kepadaku wahai Jibril, apakah yang telah disediakan Allah untukku di sisinya?”

Jibril pun menjawab: “Bahawasanya pintu-pintu langit telah dibuka, sedangkan malaikat-malaikat telah berbaris untuk menyambut rohmu.”

Baginda saw bersabda: “Segala puji dan syukur bagi Tuhanku. Wahai Jibril, apa lagi yang telah disediakan Allah untukku?”

Jibril menjawab lagi: “Bahawasanya pintu-pintu Syurga telah dibuka, dan bidadari-bidadari telah berhias, sungai-sungai telah mengalir, dan buah-buahnya telah ranum, semuanya menanti kedatangan rohmu.”

Baginda saw bersabda lagi: “Segala puji dan syukur untuk Tuhanku. Beritahu lagi wahai Jibril, apa lagi yang disediakan Allah untukku?”

Jibril menjawab: “Aku memberikan berita gembira untuk tuan. Tuanlah yang pertama-tama diizinkan sebagai pemberi syafaat pada hari kiamat nanti.”

Kemudian Rasulullah saw bersabda: “Segala puji dan syukur aku panjatkan untuk Tuhanku. Wahai Jibril beritahu kepadaku lagi tentang khabar yang menggembirakan aku.”

Jibril a.s. bertanya: “Wahai kekasih Allah, apa sebenarnya yang ingin tuan tanyakan?”

Rasulullah saw menjawab: “Tentang kegelisahanku. Apakah yang akan diperolehi oleh orang-orang yang membaca Al-Quran sesudahku? Apakah yang akan diperolehi orang-orang yang berpuasa pada bulan Ramadhan sesudahku? Apakah yang akan diperolehi orang-orang yang berziarah ke Baitul Haram sesudahku?”

Jibril menjawab: “Saya membawa khabar gembira untuk baginda. Sesungguhnya Allah telah berfirman: Aku telah mengharamkan Syurga bagi semua Nabi dan umat, sampai engkau dan umatmu memasukinya terlebih dahulu.”

Maka berkatalah Rasulullah saw: “Sekarang, tenanglah hati dan perasaanku. Wahai Malaikat Maut dekatlah kepadaku.”

Lalu Malaikat Maut pun mendekati Rasulullah saw.

Ali r.a. bertanya: “Wahai Rasulullah saw, siapakah yang akan memandikan baginda dan siapakah yang akan mengafaninya?”

Rasulullah menjawab: “Adapun yang memandikan aku adalah engkau wahai Ali, sedangkan Ibnu Abbas menyiramkan airnya dan Jibril akan membawa hanuth (minyak wangi) dari dalam Syurga.”

Kemudian Malaikat Maut pun mulai mencabut nyawa Rasulullah saw. Ketika roh baginda sampai di pusat perut, baginda berkata: “Wahai Jibril, alangkah pedihnya maut.”

Mendengar ucapan Rasulullah itu, Jibril a.s. memalingkan mukanya.

Lalu Rasulullah saw bertanya: “Wahai Jibril, apakah engkau tidak suka memandang mukaku?”

Jibril menjawab: “Wahai kekasih Allah, siapakah yang sanggup melihat baginda yang sedang merasakan sakitnya maut?”

Akhirnya roh yang mulia itupun meninggalkan jasad Rasulullah saw.


KESEDIHAN SAHABAT

Berkata Anas r.a.: “Ketika aku lalu di depan pintu rumah Aisyah r.a., aku terdengar dia sedang menangis sambil mengatakan: Wahai orang-orang yang tidak pernah memakai sutera, wahai orang-orang yang keluar dari dunia dengan perut yang tidak pernah kenyang dari gandum, wahai orang-orang yang telah memilih tikar daripada singgahsana, wahai orang-orang yang jarang tidur diwaktu malam kerana takut Neraka Sa’ir.”

Dikisahkan dari Said bin Ziyad dari Khalid bin Saad, bahawasanya Muaz bin Jabal r.a. telah berkata: “Rasulullah saw telah mengutusku ke Negeri Yaman untuk memberikan pelajaran agama di sana. Maka tinggallah aku di sana selama 12 tahun. Pada satu malam aku bermimpi dikunjungi oleh seseorang. Kemudian orang itu berkata kepadaku: Apakah anda masih lena tidur juga wahai Muaz, padahal Rasulullah saw telah berada di dalam tanah?”

Muaz terbangun dari tidur dengan rasa takut, lalu dia mengucapkan: “A’uzubillahi minasy syaitannir rajim.” Lalu setelah itu dia mengerjakan solat. Pada malam seterusnya, dia bermimpi seperti mimpi malam yang pertama.

Muaz berkata: “Kalau seperti ini, bukanlah dari syaitan.” Kemudian dia memekik sekuat-kuatnya, sehingga didengar sebahagian penduduk Yaman. Pada keesokan harinya, orang ramai berkumpul lalu Muaz berkata kepada mereka: “Malam tadi dan malam sebelumnya saya bermimpi yang sukar untuk difahami. Dahulu, bila Rasulullah saw bermimpi yang sukar difahami, baginda membuka Mushaf (al-Quran). Maka berikanlah Mushaf kepadaku.” Setelah Muaz menerima Mushaf, lalu dibukanya. Maka nampaklah firman Allah yang bermaksud: “Sesungguhnya kamu akan mati dan sesungguhnya mereka akan mati pula.” (Surah Az-Zumar: ayat 30)

Maka menjeritlah Muaz, sehingga dia tidak sedarkan diri. Setelah dia sedar kembali, dia membuka Mushaf lagi dan dia nampak firman Allah yang berbunyi: “Muhammad itu tidak lain hanyalah seorang rasul, sungguh telah berlalu sebelumnya beberapa orang rasul. Apakah jika dia wafat atau dibunuh kamu akan berbalik ke belakang (murtad)? Barang siapa yang berbalik ke belakang, maka dia tidak dapat mendatangkan mudharat kepada orang-orang yang bersyukur?” (Surah Al-lmran: ayat 144) Maka Muaz pun menjerit lagi: “Aduhai Abal-Qassim. Aduhai Muhammad.”

Kemudian dia keluar meninggalkan Negeri Yaman menuju ke Madinah. Ketika dia akan meninggalkan penduduk Yaman, dia berkata: “Seandainya apa yang ku lihat ini benar, maka akan meranalah para janda, anak-anak yatim dan orang-orang miskin, dan kita akan menjadi seperti biri-biri yang tidak ada pengembala.”

Kemudian dia berkata: “Aduhai, sedihnya berpisah dengan Nabi Muhammad saw.” Lalu dia pun pergi meninggalkan mereka. Di saat dia berada pada jarak lebih kurang tiga hari perjalanan dari Kota Madinah, tiba-tiba terdengar olehnya suara halus dari tengah-tengah lembah yang mengucapkan firman Allah yang bermaksud: “Setiap yang bernyawa pasti akan merasakan mati.”

Lalu Muaz mendekati sumber suara itu. Setelah berjumpa, Muaz bertanya kepada orang tersebut: “Bagaimana khabar Rasulullah saw?” Orang tersebut menjawab: “Wahai Muaz, sesungguhnya Muhammad saw telah meninggal dunia.” Mendengar ucapan itu, Muaz terjatuh dan tak sedarkan diri. Lalu orang itu menyedarkannya. Dia memanggil Muaz: “Wahai Muaz, sedarlah dan bangunlah.”

Setelah Muaz sedar kembali, orang tersebut lalu menyerahkan sepucuk surat untuknya yang berasal dari Abu Bakar As-siddiq, dengan cop dari Rasulullah saw. Tatkala Muaz melihatnya, dia lalu mencium cop tersebut dan diletakkan di matanya. Kemudian dia menangis dengan tersedu-sedu. Setelah puas dia menangis, dia pun melanjutkan perjalanannya menuju Kota Madinah. Muaz sampai di Kota Madinah pada waktu fajar menyingsing. Didengarnya Bilal sedang mengumandangkan azan Subuh. Bilal mengucapkan: “Asyhadu Allaa Ilaaha Illallah?” Muaz menyambungnya: “Wa Asyhadu Anna Muhammadur Rasulullah.” Kemudian dia menangis dan akhirnya dia jatuh dan tak sedarkan diri lagi.

Pada saat itu, di samping Bilal bin Rabah ada Salman Al-Farisy r.a. lalu dia berkata kepada Bilal: “Wahai Bilal, sebutkanlah nama Muhammad dengan suara yang kuat dekatnya. Dia adalah Muaz yang sedang pengsan.” Setelah Bilal selesai azan, dia mendekati Muaz, lalu dia berkata: “Assalamualaika, angkatlah kepalamu wahai Muaz, aku telah mendengar dari Rasulullah saw, baginda bersabda: Sampaikanlah salamku kepada Muaz.” Maka Muaz pun mengangkatkan kepalanya sambil menjerit dengan suara keras, sehingga orang-orang menyangka bahawa dia telah menghembuskan nafas yang terakhir. Kemudian dia berkata: “Demi ayah dan ibuku, siapakah yang mengingatkan aku pada baginda, ketika baginda akan meninggalkan dunia yang fana ini, wahai Bilal? Marilah kita pergi ke rumah isteri baginda Siti Aisyah r.a.”

Setelah sampai di depan pintu rumah Siti Aisyah, Muaz mengucapkan: “Assalamualaikum ya ahlil bait, wa rahmatullahi wa barakatuh.” Yang keluar ketika itu adalah Raihanah, dia berkata: “Aisyah sedang pergi ke rumah Siti Fatimah.” Kemudian Muaz menuju ke rumah Siti Fatimah dan mengucapkan: “Assalamualaikum ya ahlil bait.”

Siti Fatimah menyambut salam tersebut, kemudian dia berkata: “Rasulullah saw bersabda: Orang yang paling alim di antara kamu tentang perkara halal dan haram adalah Muaz bin Jabal. Dia adalah kekasih Rasulullah saw.” Kemudian Fatimah berkata lagi: “Masuklah wahai Muaz.” Ketika Muaz melihat Siti Fatimah dan Aisyah r.a., dia terus pengsan dan tak sedarkan diri. Setelah dia sedar, Fatimah lalu berkata kepadanya: “Saya mendengar Rasulullah saw bersabda: Sampaikanlah salam saya kepada Muaz dan khabarkan kepadanya bahawasanya dia kelak dihari kiamat sebagai imam ulama.” Kemudian Muaz bin Jabal keluar dari rumah Siti Fatimah menuju ke arah kubur Rasulullah saw.

Wallahualam…


(via:CahayaIslam.net)

Kuatkah Daku Andai Tiang Itu Masih Rapuh?


Everytime you feel like you cannot go on
You feel so lost that your so alone
All you is see is night
And darkness all around
You feel so helpless
You can't see which way to go
Don't despair and never loose hope
Cause Allah is always by your side
Insha Allah...
Telefon bimbitku berulang-ulang kali mendendangkan lagu InshaAllah nyanyian penyanyi arab terkenal, Maher zain. Oleh kerana lagunya sangat menenangkan serta menyentuh kalbu,aku menjadikannya sebagai nada dering untuk jam locengku di telefon bimbit.Tanganku pantas meraba ke bawah bantal mencari telefon bimbitku.”Hah,dapat pun!” Dengan bersusah payah aku membuka mata dan...
Astaghfirullahalazim! 6.07 pagi?
Aku kesiangan lagi pagi ini dan yang paling menyedihkan solat subuhku ‘gajah’ lagi.Mungkin bukan gajah tetapi ‘dinosaur’ layaknya kerana kini subuh di Mesir masuk waktu seawal sekitar 4.15 pagi.Masuk pagi ini sudah tiga kali berturut-turut aku terlewat bangun untuk mengerjakan solat subuh.
Lantas aku beristighfar lagi sambil melompat dari atas katil. Langkahku dipercepat.Tiang agamaku tidak mungkin kubiarkan terus rapuh. Biar sudah terlambat, solat harus dikerjakan dan keampunan harus kupinta daripada Yang Maha Pengampun.
Matahari semakin terik. Peluh cepat sahaja bertelur di dahiku. Mujur kelas selama enam jam berturut-turut sudah pun tamat, alhamdulilah. Namun ada sesuatu yang kukesali. Walaupun si pensyarah hebat dalam menerangkan ilmu-ilmu medik kepada kami, nampaknya aku gagal memahaminya dengan baik.
Aku tidak dapat fokus sedang teman-teman yang lain tersenyum lebar sambil memuji-muji kehebatan si pensyarah tadi menghurai tajuk pelajaran pada hari ini. Muhasabahku mengingatkan aku kepada solat subuh yang terlewat pagi tadi. Mungkin inilah akibatnya apabila solat subuh yang merupakan permulaan hari pun tidak dikerjakan pada waktunya. Bibirku melafazkan istighfar lagi.
Setibanya aku di asrama MARA, aku terus mengajak ahli baitku mengerjakan solat asar berjemaah. Kali ini solatku lebih khusyuk seolah-olah ingin berlama-lama ‘menghadap’ Dia demi memohon keampunan dari setiap penjuru khilaf yang telah ku perbuat. Usai solat, wirid yang aku imami sengaja aku panjangkan dek kerana perasaan rasa bersalahku padaNya masih berbaki.
Satu jam lagi Madrasah al-Razi akan bermula. Hendak mengulangkaji pada waktu petang-petang sebegini selalunya apa-apa yang dibaca susah sedikit mahu difahami, tambahan pula memang aku sudah terbiasa belajar selepas solat maghrib. Untuk mengisi masa lapang ,ku buka komputer ribaku untuk menyemak emel. Tiba-tiba ‘offline message’ dari Kak Mardhiah,mahasiswi usuluddin Universiti Al-Azhar muncul di skrin.
Dalam hadis Nabi SAW disebutkan:
Orang yang meninggalkan solat lebih besar dosanya dibandingkan dengan orang yang membakar 70 buah Al-Quran, membunuh 70 nabi dan bersetubuh dengan ibunya di dalam Kaabah. Dalam hadis yang lain disebutkan bahawa orang yang meninggalkan solat sehingga terlewat waktu, kemudian ia mengqadanya, maka ia akan disiksa dalam neraka selama satu huqub. Satu huqub adalah lapan puluh tahun. Satu tahun terdiri dari 360 hari, sedangkan satu hari di akhirat perbandingannya adalah seribu tahun di dunia.
Aku terkedu. Mesej yang diterima betul-betul terkena di batang hidungku sendiri. Tidak dapat kubayangkan betapa seksa dan dahsyatnya azab Allah SWT. Air panas yang terkena ditanganku semasa membancuh teh pagi tadi pun sudah cukup membuatku terjerit, apatah lagi azab Allah yang maha pedih.
”Nauzubillah min zalik”, ucapku dalam hati.
Sememangnya pagi tadi aku bukan sengaja melewatkan solat subuhku.Aku cuma terlewat bangun kerana kepenatan belajar sehingga terbawa-bawa ke dalam lena yang panjang. Namun perasaan bersalah terasa kuat sehingga diri terasa hina. Ah,lama sungguh aku melayan perasaan. Madrasah al-Razi bakal bermula sebentar sahaja lagi.
Tingkat 3 bangunan MARA Iskandariah sudah dibanjiri dengan kedatangan mahasiswa dan mahasiswi. Seperti biasa,bilangan akhawat melebihi bilangan ikhwah yang hadir. Tidak lama kemudian,Ustaz Salman Maskuri atau lebih dikenali sebagai ‘Akhi Salman' di alam maya tiba diiringi beberapa orang ikhwah.
Syukur pada Allah kerana dengan adanya insan yang bersungguh-sungguh mahu berkongsi ilmu seperti Ustaz Salman, kami mendapat pelbagai ilmu yang sudah semestinya tidak mungkin diperolehi di Fakulti Perubatan. Meskipun sistem pembelajaran tampak menarik diselang-selikan pula dengan lawak-lawak ustaz yang pastinya mengundang tawa, tumpuanku agak terganggu dengan kehadiran ikhwah yang seorang ini.
Petang ini, dia kelihatan bersahaja memakai baju melayu berwarna biru laut, warna kesukaanku. Tambahan pula, dia memilih untuk duduk betul-betul sebaris denganku. Ah,Allah memang sengaja ingin menguji keimananku. Pandanganku asyik tertumpu ke arah pemuda itu. Entah mengapa hatiku berkenan sungguh padanya. Mungkin kerana akhlaknya yang baik, ditambah pula dengan sikapnya yang peramah serta berkepimpinan. Tetapi dia tidak pernah mengetahui bahawa aku mengaguminya dalam diam. Cuma terdaya memandangnya dari jauh.
Lamunanku terhenti apabila ustaz menyentuh bab hati. Tumpuanku bertambah semula. Ada kata-kata ustaz yang merenggut ketenangan di hatiku. Kata ustaz, semasa solat kita hendaklah khusyuk kerana apabila kita teringat perihal dunia sedang bibir memuji kebesaranNya, Allah akan berkata dengan nada yang sedih:
”Yang mana lebih penting? Aku atau perihal dunia yang kau ingat itu?”.
Kemudian apabila kita teringat lagi perihal dunia buat kali kedua setelah datangnya khusyuk, Allah akan bertanya soalan yang sama buat kali kedua. Dan apabila kita teringat perihal dunia buat kali ketiga, Allah tidak akan bertanya lagi. Jika Allah sudah tidak hiraukan kita lagi, adakah solat yang kita laksanakan akan diterima?
Aku terus tersentak. Kelas Madrasah al-Razi kali ini betul-betul memberi impak besar pada diriku. Dadaku terasa bagai dihempap. Sedih, terkilan, menyesal, semuanya menjadi satu. Seisi kelas terdiam seribu bahasa bagai bermuhasabah sendiri pada waktu itu juga.Ya Allah,orang yang melaksanakan solat, tiang agamaMu pun ada cacat celanya apatah lagi orang yang menunaikan solat tetapi di hujung-hujung waktu sepertiku ini. Ya Allah, ampunkan hambaMu ini.
Kali ini mataku tidak terarah ke arah sang pemuda itu lagi. ”Maksiat mata!”, bentak hatiku. Aku bertekad,perasaan ini tidak harus dilayan dan solat selepas ini akan kukerjakan dengan sebaiknya walau terpaksa berperang dengan diri sendiri melawan kemalasan serta hasutan syaitan. Ya! Aku harus kuat untuk menjadi muslim yang sejati. Biar Islam pada diriku bukan sekadar tertulis hanya pada nama, tetapi biar terzahir pada hati, lafaz serta perbuatanku.
Allahuakbar,allahuakbar....
Azan sudah pun berkumandang. Alhamdulilah, pada kali ini aku berjaya menunaikan solat Subuh pada awal waktu. Aku berasa sangat sehingga di kelas pun aku masih tersenyum. Pada sujud terakhir, ada air mata keluar berlinangan dari kelopak mataku. Alangkah indahnya jika kita sentiasa hidup dalam keimanan. Alhamdulilah...

Siapa Suami Kamu Di Syurga Nanti?

Persoalan mengenai kehidupan berpasangan, suami isteri atau ikatan perkahwinan di syurga kelak pasti bermain di fikiran semua wanita beriman bukan? Pasti mereka ingin mengetahui siapakah suami mereka di sana. Ia akan dijawab mengikut dalil sahih dari Rasulullah s.a.w, namun segala perinciannya adalah hak milik Allah s.w.t….


Kes 1: Wanita yang meninggal dunia sebelum berkahwin.
Wanita dalam golongan ini akan dikahwinkan dengan seorang lelaki di kalangan Ahli Syurga. Rasulullah s.a.w bersabda: “Tiada si bujang di dalam syurga” (H.R. Muslim). Ini kerana ada juga kaum lelaki yang belum berkahwin sebelum meninggal dunia.

Kes 2: Wanita yang meninggal dunia setelah bercerai dan tidak berkahwin dengan lelaki lain selepas itu.

Wanita dalam golongan ini juga akan dikahwinkan oleh Allah s.w.t dengan lelaki daripada Ahli Syurga.

Kes 3: Wanita yang meninggal dunia sedangkan suaminya tidak memasuki syurga.
Seperti kes 2, wanita dalam golongan ini juga akan mengahwini lelaki daripada Ahli Syurga.

Kes 4: Wanita yang meninggal dunia setelah berkahwin.

Wanita dalam golongan ini akan bersama suami mereka masing-masing asalkan suaminya memasuki syurga.

Kes 5: Wanita yang kematian suami dan tidak berkahwin selepas itu.

Seperti kes 4, Wanita dalam golongan ini akan bersama suami mereka masing-masing asalkan suaminya yang meninggal tersebut memasuki syurga.

Kes 6: Wanita yang kematian suami tetapi berkahwin dengan lelaki lain.

Apabila seorang wanita ketika di dunia memiliki dua atau lebih suami, maka kelak di syurga dia dipersilakan untuk memilih siapa di antara suami-suaminya yang dia inginkan untuk menjadi pendampingnya di syurga, asalkan suaminya itu tergolong dari Ahli Syurga. Satu lagi pendapat mengatakan bahawa dia akan bersama suaminya yang terakhir. Ini disebut oleh hadith Rasulullah: “Wanita adalah kepunyaan suaminya yang terakhir” (H.R. Al-Albani)

Dipetik dari Facebook: http://goo.gl/3HkDd

Tukar Ucapan Harian Kita Kepada Ucapan Berpahala..




Bagaimana ucapan salam yang sebenar-benarnya disyariatkan?

Jawapan kepada persoalan ini boleh dirujuk kepada sebuah riwayat lain yang menyatakan “Bahawa sudah bertandang seorang lelaki kepada Rasulullah seraya mengucapkan Assalamualaikum. Nabi bersabda “Sepuluh kebaikan”.

Kemudian datang yang lain pula sambil mengucapkan “Assalamualaikum warahmatullah”. Nabi bersabda “Dua puluh kebaikan”.

Kemudian datang yang lain lagi dan mengucapkan “Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh”. Baginda Nabi bersabda “Tiga puluh”. (Hadis riwayat Abu Daud dan al-Tirmiziy)

( via CahayaIslam.net )

Semoga dgn perkongsian ini, sama-samalah kita mempraktikkannya dlm kehidupan seharian kita.